Rezeki dari bisnes mi kuning

MENGUSAHAKAN perniagaan makanan bukanlah semudah yang disangka tanpa pengalaman dan peralatan yang sempurna.

Tapi semua ini dapat ditempuh dengan hati yang tabah oleh seorang ibu muda, Roslina Che Abdullah, 34 tahun.

ke_04.1Bagi ibu kepada dua orang anak berusia lapan dan empat tahun, semuanya atas galakan dan sokongan suaminya.

Berkelulusan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Roslina menjadi suri rumah sepenuh masa atas alasan menjaga anak-anak yang masih kecil.

Setelah berpindah-randah hampir seluruh negara mengikut suami, akhirnya Roslina menetap di Bukit Changgang, Banting, Selangor apabila suaminya bertukar ke Putrajaya.

“Di sinilah timbul idea untuk mengusahakan industri mi kuning memandangkan sukar untuk kami mendapatkan bekalan daripada pengusaha bumiputera Islam,” katanya semasa ditemui di premisnya di Jalan Labuhan Dagang, Bukit Changgang, Banting, Selangor.

Setelah mendapat persetujuan dan sokongan suami, Roslina yang berasal dari Kelantan mula mencari pelbagai maklumat mengenai kursus dan peralatan yang sesuai.

Setelah berkursus dengan pengusaha mi kuning di Sungai Pelek, Selangor Roslina mula melayari laman web bagi mencari peralatan yang sesuai.

“Setelah puas mencari di Internet saya akhirnya tertarik dengan laman web ZullDesign yang amat inovatif dan kreatif mengenai banyak peralatan dan pelbagai jenis mesin untuk pelbagai kegunaan.

“Apa yang menarik minat saya, Zulkifli Haron membina peralatan dan mesin mengikut keperluan pengguna,” katanya.

Selepas berbincang, Roslina menempah enam peralatan dan mesin untuk industri membuat mi kuning.

Peralatan dan mesin yang ditempah termasuk mesin menguli tepung, mesin menekan, mesin melicinkan adunan, mesin menghasilkan mi dan mesin merebus.

Mesin menguli tepung boleh menguli sehingga 30 kilogram tepung pada satu-satu masa dan dalam sehari beliau boleh mengeluarkan sehingga 500 kilogram mi kuning sehari dengan empat orang pekerja.

Roslina berkata, beliau amat berpuas hati dengan khidmat selepas jualan yang diberikan oleh ZullDesign.

“Sudah adat membeli barang ada masa-masa memang terdapat masalah dan ZullDesign akan sentiasa membantu pada bila-bila masa.

“Malah pihak ZullDesign juga memberikan khidmat nasihat mengenai kaedah menggunakan mesin dengan betul,” katanya yang bermodalkan wang simpanannya sendiri memulakan perniagaan.

Semasa pihak ZullDesign menghasilkan tempahan, Roslina menghantar sampel adunan bagi membolehkan mereka menghasilkan mesin yang sesuai.

“Pihak ZullDesign sentiasa memberikan yang terbaik, misalnya semasa saya memerlukan mesin merebus mi kuning yang inovatif, mereka menghasilkan mesin yang amat mudah dikendalikan oleh seorang pekerja,” katanya.

Memulakan operasi seawal 8.30 pagi, Roslina berkata, proses membuat mi kuning perlu dilakukan secara berterusan sehingga pembungkusan.

“Ini kerana mi yang diletakkan di atas pelantar akan ‘berpeluh’ dan menyebabkannya mudah rosak,” katanya.

Berkongsi cerita mengenai pasaran mi kuning, Roslina berkata, mi kuning berjenama Mee Kampung mendapat pasaran di Banting, Dengkil, Bandar Baru Bangi dan Putrajaya.

“Saya tidak nampak masalah mengenai pasaran kerana tidak ramai pengusaha Bumiputera.

“Biasanya pasaran mi kuning melonjak semasa awal bulan, bulan puasa dan seminggu selepas Hari Raya semasa orang ramai membuat rumah terbuka,” katanya.

Apa yang lebih istimewa, mi kuning buatan Roslina tidak mempunyai sebarang bahan pengawet.

“Biasanya Mee Kampung hanya bertahan paling lama empat hari kerana tidak ditambah bahan pengawet,” katanya.

Roslina berkata, sejak dua tahun menggunakan mesin hasil ciptaan ZulDesign, beliau sedang berbincang untuk menempah mesin memproses kuetiau dan laksa.

No Comments

Leave a Comment