Najwa muda & berjaya

MELIHAT kejayaan gadis yang sentiasa manis dengan senyuman ini pada usia begitu muda, pasti ramai yang menyangka dia mendapat ‘tajaan’ keluarga ataupun kerana pinjaman bank.

Manakan tidak, pada usia baru saja mencecah 22 tahun, pemilik nama Rami Zati Najwa Mohamad Kamarudin Hilmi sudah pun mempunyai perniagaan dan produk kecantikan sendiri.

Memiliki syarikat RHG Empire Sdn. Bhd. yang menawarkan perkhidmatan ‘dropship’ dan pengedar barangan kecantikan, Najwa juga kini mengorak langkah dengan menghasilkan produk kecantikannya sendiri iaitu RZN Beauty Resources yang semakin laris di pasaran.

Malah, dia sudah mampu bergelar jutawan muda dan kini syarikatnya pula mampu menjana pendapatan lebih RM50,000 hingga RM70,000 sebulan!

“Saya bermula dengan modal sebanyak RM500 sahaja hasil daripada menjaga anak-anak saudara saya seramai 12 orang dan menjadi ejen dropship pakaian kanak-kanak ketika saya berusia 18 tahun.

“Saya bermula daripada bawah. Saya menjadi ejen dropship, pembekal pakaian kanak-kanak, membuka syarikat sendiri dan kini bila rezeki bertambah saya memberanikan diri menghasilkan produk sendiri pula.

“Saya tahu pasti ramai yang beranggapan kejayaan saya sekarang hasil bantuan kewangan orang lain atas faktor usia, tapi hakikatnya ia semua hasil titik peluh sendiri.

“Sebab itu saya gemar merahsiakan umur sebenar saya kerana tahu persepsi orang terhadap orang berusia seperti saya,” dedah Najwa ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Indah, Ampang, baru-baru ini.

Menurut usahawan muda ini, kejayaan yang dimilikinya hari ini bukanlah semudah yang disangka.

Daripada keazaman yang kuat dan usaha yang berterusan, dia berjaya bertapak dalam industri kecantikan yang semakin tinggi persaingannya.

Pernah ditipu pembekal beribu-ribu ringgit, ia tidak sesekali mematahkan semangat wanita yang berasal dari Machang, Kelantan ini.

Ceritanya, semuanya bermula dengan modal RM500 yang diperolehinya ketika menjaga anak-anak saudaranya serta sebagai ejen dropship pakaian kanak-kanak selepas SPM.

Daripada modal yang kecil itu, Najwa mula membeli stok sendiri secara pukul dan enam bulan kemudian dia berjaya mengumpul modal untuk ke China mengambil stok di sana pula.

Walaupun terpaksa menaiki bas untuk menghantar barangan ke pejabat pos setiap hari ketika itu, ia bukanlah halangan untuk Najwa terus berniaga.

Baginya ini semua bukan halangan sebaliknya sebagai pembakar semangat untuknya berjaya.

Hasil berdikit-dikit, akhirnya Najwa mampu membeli kereta sendiri ketika sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara Dungun dalam bidang pengurusan.

Ketika itu, dia berjaya menyeimbangkan antara perniagaan online dan pelajarannya malah mampu membuka dua kiosk wafel di sana.

Keluarga

Namun, semakin lama perniagaannya semakin mendapat sambutan membuatkan dia terpaksa memilih antara satu saja.

Keputusannya untuk berhenti belajar mendapat sokongan keluarga terutama ibunya melihat kejayaan anak muda ini.

“Bukannya saya tak mahu teruskan pengajian tapi waktu itu perniagaan online saya tengah ‘meletup’ dan saya terpaksa bercuti selalu untuk ke luar negara bagi mendapatkan stok.

“Tambahan pula waktu itu, pendapatan saya boleh mencecah RM5,000 hingga RM20,000 sebulan.

“Saya tahu saya sudah berada di jalan yang betul. Misi saya untuk terus memajukan apa yang saya mulakan dan tidak sesekali pandang ke belakang,” ujarnya.

Namun pada tahun 2012, Najwa mengubah strategi perniagaan dengan menumpukan kepada produk kecantikan pula setelah melihat permintaan yang semakin tinggi.

Sekali lagi dia bermula daripada bawah, menjadi stokis produk orang lain dan menjualnya menerusi online.

Kemudian, dia menarik dua orang kakaknya iaitu Rami Ilyani dan Rami Syarafina untuk menjadi rakan kongsinya menubuhkan RHG Empire.

“Selain produk kami, saya juga turut menjual lebih 150 produk kesihatan dan kecantikan dibantu empat pekerja bagi urusan pesanan, pembungkusan serta penghantaran barangan.

“Walaupun saya majikan, namun bagi melicinkan operasi saya sering bantu menghantar barangan kepada pelanggan,” katanya yang mempelawa sesiapa yang mahu menjadi stokis untuk menghubungi 0145117083 atau layari Facebook, RHG Empire Dropshipper.

Penjagaan wajah

Pemilihannya untuk fokus kepada penjagaan kecantikan kerana mengetahui pentingnya seseorang wanita berketerampilan menarik bagi meningkatkan keyakinan mereka.

Produk pertamanya iaitu FWS Skin Care terdiri daripada lima produk dalam setnya iaitu sabun pencuci wajah, krim UV siang, krim rawatan, toner dan serum emas.

Istimewanya produk berharga RM120 ini sesuai untuk semua jenis kulit, mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia dan dan mampu merawat pelbagai masalah kulit seperti jerawat dan jeragat.

Sambutan hangat terhadap produk yang baru diedarkan menerusi Internet itu membuatkan Najwa tampil dengan produk kedua iaitu Advance Pure Serum yang berada di pasaran sejak awal Februari lalu.

Advance Pure Serum dirumuskan secara khusus dengan teknologi Perancis bagi mengembalikan keanjalan serta kehalusan kulit.

“Sebelum keluarkan serum ini, saya memberi beberapa orang mencubanya dan ramai yang berpuas hati dengan keberkesanannya kerana kesannya begitu ketara sekali setelah dua minggu menggunakannya.

“Bukan itu saja, sebelum ini wajah saya penuh dengan kesan parut akibat kemalangan jalan raya terutama di atas bibir saya yang mempunyai parut kesan jahitan.

“Syukurlah sejak gunakan serum ini kesan parut di wajah saya juga semakin berkurangan dan ramai yang menegur perubahannya,” ujarnya mengakhiri bicara.

No Comments

Leave a Comment