Kisah Kejayaan Erni Dekritawati Yuliana Buhari – Pengarah Nouvelle Beuty Sdn Bhd

JIKA diukur dengan masa, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, mungkin masih terlalu mentah untuk memahami sepak terajang dunia perniagaan. Meneruskan legasi ibunya, Datuk Sosilawati Lawiya sebagai pengasas empayar produk kecantikan Nouvelles Visages sejak lima bulan lalu, anak sulung enam beradik itu perlu secekal ibunya dalam mengharungi dunia perniagaan serba mencabar.

Mungkin pada anggapan sesetengah pihak, meneruskan perniagaan diwarisi daripada keluarga lebih mudah berbanding individu yang berhempas pulas membangunkan jenama bermula dari bawah.

Namun Erni Dekritawati Yuliana atau lebih dikenali Rita mempunyai pandangan berbeza. Baginya, individu yang mula-mula membangunkan perniagaan dengan individu yang meneruskannya mempunyai cabaran masing-masing.

“Produk ini sudah 12 tahun di pasaran dan dikenali. Cabaran saya ialah bagaimana mengekalkan perniagaan ini untuk tempoh 20 tahun akan datang. Asas sudah ada, cuma saya perlu memajukan perniagaan ini bagi memastikan ia kukuh dan boleh bersaing di pasaran antarabangsa,” katanya.

Rita mengakui masih banyak perlu dipelajari untuk menerajui Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd kerana tanggungjawab dipikulnya sebagai pengarah syarikat terlalu berat dan memerlukan tumpuan penuh.

“Saya mungkin terlalu muda untuk menjadi orang atasan, tetapi saya perlu tunjuk saya boleh memimpin orang lain. Jangan pandang daripada segi rupa dan umur, sebaliknya tengok pada pemikiran kerana saya sebenarnya ‘kecil-kecil cili padi’,” katanya.

Antara dilema dihadapi Pengarah Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd ini ialah ketika berurusan, orang bertanya usianya dan memberi reaksi terkejut sambil mengatakan dirinya muda.

Diajar berdikari sejak kecil, Rita mendapat pendidikan peringkat Ijazah Sarjana Muda Seni (Tekstil) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Perniagaan Antarabangsa di Universiti Nottingham Trent, United Kingdom.

Rita mendapat pendedahan dalam dunia perniagaan sejak sekolah menengah apabila ibunya sering membawanya ke pejabat.

“Saya diajar membuka bil, cara menarik pelanggan dan melayani pelanggan yang datang membeli produk.

Setiap kali cuti sekolah, saya tidak berpeluang pergi bercuti seperti rakan lain, sebaliknya wajib datang ke pejabat seperti orang bekerja iaitu pergi pagi balik petang.

“Dulu saya sering tertanya-tanya kenapa ibu buat begitu. Saya merasakan dia tidak memberi kebebasan kepada saya. Ibu tidak pernah jawab apabila saya bertanya, cuma dia kata, nanti saya akan tahu. Sekarang saya sedar dia lakukan semua itu untuk memberi pendedahan kepada saya,” katanya.

Menurut Rita, dia pernah meminta kebenaran ibunya untuk mencari pengalaman kerja di United Kingdom selepas tamat pengajian kerana penuntut asing mempunyai dua tahun visa untuk kerja.

“Bagaimanapun, ibu tidak membenarkan saya meneruskan niat itu dengan alasan buat apa membazir masa sedangkan ibu boleh mengajar banyak benda. Akhirnya saya akur kehendak ibu untuk menguruskan syarikat,” katanya.

Antara perubahan dilakukan gadis itu ialah mengubah kaedah pemasaran produk yang lebih moden dan mengikut peredaran masa. Rita menggunakan saluran media cetak dan elektronik selain laman web sendiri dalam mengetengahkan produk kecantikan Nouvelles Visages.

Terkenal dengan produk kosmetik, Nouvelle Beauty Centre turut membuka galeri pengantin, penjagaan kesihatan, salun rambut dan kecantikan serta hartanah.

Butik andaman pengantin, salun rambut dan spa beroperasi di Wisma Nouvelle, Cyberjaya manakala Nouvelle Development membangunkan kawasan komersial di Kota Damansara.

“Saya juga bercadang membuka perniagaan berkaitan fesyen kerana ada pengetahuan dalam bidang itu. Saya tidak mahu membazirkan tempoh lima tahun belajar bidang tekstil.

“Ilmu itu nanti boleh membantu memberi peluang pekerjaan kepada orang lain menerusi pembukaan butik yang mengetengahkan pakaian rekaan saya. Ia dijangka dilancarkan tahun depan,” katanya.

Walaupun bergelar pengarah, Rita berkata, ibunya sentiasa memantau pergerakannya iaitu perlu patuh pada waktu kerja dengan masuk pada jam 9 pagi.

“Kami tinggal serumah dan ibu mudah memantau pergerakan saya. Saya perlu datang ke pejabat jam 9 pagi setiap hari,” katanya.

No Comments

Leave a Comment