Hazimah wanita minyak

Membangunkan perniagaan minyak di 40 negara

TEMPOH 25 tahun memperkenalkan Hyrex Oil ke persada antarabangsa bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi bagi seorang wanita. Pelbagai onak duri, cabaran, dan dugaan, selain kerap menerima pandangan sinis oleh kaum lelaki, merupakan lumrah yang harus ditempuhi sebelum berjaya.
Perkara ini diakui oleh Pengarah Urusan Kumpulan Hyrax Oil, Datuk Hazimah Zainuddin, 53, semasa ditemui di pejabat beliau di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkata, dalam perniagaan terutamanya produk yang tidak dikenali ramai, beliau harus bekerja lebih kuat bagi mendapatkan pengiktirafan antarabangsa daripada segi mutu piawaian sesebuah negara itu.

Contohnya, di benua Afrika sahaja terdapat 54 negara yang masing-masing mempunyai mutu piawaian tersendiri.

Beliau mengakui, bukan senang untuk mencapai ke tahap sekarang. Perniagaan gas dan minyak menghadapi terlalu banyak saingan dan cabaran seperti kenaikan wang dolar Amerika.

“Saya sendiri tidak percaya boleh berjaya hingga ke tahap ini. Saya amat bersyukur kerana segala yang saya usahakan dalam tempoh 25 tahun ini menampakkan hasil. Saya yakin dengan usaha, ikhtiar, serius, yakin dengan diri serta produk yang dijual, tiada sempadan untuk kita terus melangkah ke arah kejayaan. Allah akan permudahkan jalan kita dan mintalah keberkatan daripada-Nya.

“Banyak cabaran yang telah saya hadapi. Tiga tahun pertama agak sukar hendak mendapatkan penerimaan orang tetapi selepas itu sudah nampak kejayaan.

“Untuk berjaya, harus ada tiga prinsip. Pertama, perlu ada keyakinan. Kedua, produk kita itu berkualiti dan mampu bersaing dengan produk terkenal yang telah bertapak di dunia dan ketiga, jangan berputus asa. Bila kali pertama orang tidak menerima produk kita, jangan berputus asa dan cuba lagi.

“Saya ini seorang yang multi tasker. Orang kata saya seorang yang mementingkan kesempurnaan dan sangat berdisiplin. Saya akui kelebihan saya ialah boleh mengubah topik dengan cepat.

“Contohnya, jika sekarang saya sedang ditemubual, saya tumpukan minda saya pada temu bual ini. Satu jam selepas itu apabila saya menghadiri sesuatu mesyuarat, fikiran saya telah bersedia untuk mesyuarat itu pula.

“Sebagai wanita, tidak perlulah kita menukar fesyen pakaian dan keperibadian kita semata-mata untuk bersama-sama dengan pihak lain kerana perniagaan. Pendirian kita mesti kukuh. Orang sentiasa mahu mengambil kesempatan ke atas kita kerana kita wanita,” kata Hazimah yang semasa pertemuan ini baru sehari pulang ke tanah air dari Arab Saudi atas urusan perniagaan.

Pada urusan perniagaan tersebut, beliau sempat bertemu dengan Presiden Mouseveni dari Uganda dan pihak National Oil & Co Kenya.

Hazimah membuat pembentangan pada 15 syarikat bagi membeli Hyrex Oil dan seterusnya terbang ke Istanbul serta Krygystan. Semua pihak dan negara yang dilawati menerima Hyrex dengan baik dan sesuatu yang amat membanggakan.

Perasaan gembira terpancar pada wajah beliau apabila bercerita mengenai kejayaan menembusi sebuah pasaran luar negara.

Beliau menganggap ini sebagai kejayaan terbesar kerana berjaya membawa Hyrex Oil ke negara tersebut kerana bukan sesuatu yang mudah dan perlu melalui terlalu banyak prosedur. Bagaimanapun semua prosedur tersebut berjaya dilepasi.

Beliau berkata, Hyrax Oil kini sudah berada di lebih 35 buah negara seluruh dunia. Di antaranya ialah, Mozambique, Afrika Selatan, Kenya, Arab Saudi, Korea, New Zealand, Mexico, Australia, Turki, Cyprus, Mauritius, Uganda, Sudan, Yemen, Jordan, China, Nepal dan Oman.

Dengan kata lain, Hyrax Oil telah bertapak di Asia Tenggara, Asia Selatan, Afrika dan Asia Barat.

“Sebuah lagi kilang Hyrax Oil akan siap pada April atau Mei ini di Johannesburg, Afrika Selatan. Di Sri Lanka pula kami sudah mendapat kelulusan bagi mendirikan kilang cuma menunggu masa yang sesuai sahaja.

“Bagi mengekalkan kemajuan syarikat, saya tidak pernah berkompromi daripada segi kualiti. Kami mempunyai ramai pelanggan setia yang telah menggunakan Hyrax Oil sejak 15 tahun lalu,” kata wanita yang berasal dari Taiping, Perak ini.

Pencapaian yang membanggakan, membolehkan beliau menerima beberapa anugerah dan pengiktirafan atas kejayaan beliau.

Di antaranya, Anugerah Usahawan Wanita 2002 oleh Ernst & Young dan Usahawan Wanita SMI 2003 oleh Persatuan Insdustri Kecil Sederhana Malaysia (SMI). Terbaharu, Anugerah Usahawan Wanita Kebangsaan 2014, apabila beliau menjadi inspirasi kepada usahawan-usahawan di Malaysia.

Hazimah turut terpilih di kalangan ramai usahawan dan pemimpin wanita elit Malaysia untuk menghadiri Program Kepimpinan Keusahawanan dan Wanita tajaan Oxford Dynamics di London. Program ini telah dihadiri oleh usahawan-usahawan wanita terulung dunia.

Bertanya kepada Hazimah mengapa memilih perniagaan gas dan minyak yang dipelopori oleh golongan lelaki, katanya, daripada muda beliau amat meminati kereta dan sukan permotoran.

Kereta lumba pertamanya ialah Datsun Fairlady dan setiap hujung minggu akan berlumba kereta di litar lumba kereta Batu Tiga Shah Alam.

“Oleh itu apabila mendapat peluang untuk berniaga, saya memilih bidang yang berkaitan dengan minyak,” katanya yang mengamalkan falsafah ‘susah dahulu senang kemudian.’

No Comments

Leave a Comment