Enam kali bankrap

Serdang: Tidak tahu berbahasa Inggeris dan menghidap penyakit disleksia antara bab menarik yang dimuatkan dalam buku autobiografi pengasas kosmetik D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd Datuk Aliff Syukri Kamarzaman bertajuk Bermula Sebuah Kisah.

Buku setebal 175 muka surat itu ditulis sendiri oleh Aliff Syukri dan mengambil masa enam bulan untuk disiapkan mencatatkan kehidupan peribadi jutawan muda serta kisah suka dukanya yang tidak diketahui umum.
Aliff Syukri berkata, bukan mudah untuk dia bertapak dalam dunia perniagaan selepas melalui pengalaman enam kali bankrap serta disamun ketika mempromosikan produk rumah ke rumah.

“Tujuh tahun saya membina empayar perniagaan untuk bergelar jutawan bukan sesuatu yang mudah, pelbagai pengalaman dilalui yang orang ramai tidak tahu.

“Disebabkan itu, saya terfikir untuk menerbitkan buku yang dianggap ‘diari’ ini sebagai tatapan dan sumber inspirasi kepada orang ramai terutama mereka yang bercita-cita mahu bergelar usahawan,” katanya dalam sidang media selepas Pelancaran Buku Autobiografi Bermula Sebuah Kisah di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, semalam.

Katanya, buat kali pertama dia sudi berkongsi sisi hidupnya dengan masyarakat umum mengenai kenangan zaman kecil, suka duka dan rahsia perniagaan, kisah rumah tangga dan segala kenangan serta pengalaman dicoretkan dalam buku berharga RM30 terbitan Kristal Publishing itu.

“Tidak ramai yang tahu sisi hidup saya yang tidak tahu berbahasa Inggeris dan disahkan menghidap penyakit disleksia,” katanya.

Menurutnya, dia turut membongkar rahsia dan tip kejayaan membina empayar perniagaan sehinggalah memiliki sebuah Wisma D’Herbs bernilai RM25 juta, tiga perniagaan spa, 45 kedai jamu dan 200 aset perniagaan lain.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 20

No Comments

Leave a Comment