Pengasas Dnars Skincare

SEJAK zaman remajanya lagi sudah gemar melaram dan menjaga kecantikan diri serta wajah. Mahu sentiasa bergaya dengan baju lawa-lawa sambil pakai kasut tinggi.

Masuk sekolah menengah, petua kecantikan berasaskan bahan semula jadi berasal daripada nenek-moyang sudah mula diamalkan. Tamat tingkatan lima, kerja pun bidang kecantikan.

Biarpun ada mendapat tawaran menjadi jururawat, namun ditolak mentah-mentah. Keputusan dibuat hingga sanggup dimarahi bapa yang mahu anak berkerjaya tetap supaya masa depan dikatakan lebih terjamin.

Dnas2Namun dalam tempoh 12 tahun kemudian beliau gigih mengejar minat dan impian. Ceburkan diri dalam bidang jual produk kosmetik dan buka salon.

Jika niat dan minat dah sebati sekian lama, tidak hairanlah jika beliau mampu terus menuju puncak membina empayar. Malah kini mampu berdiri sebaris dengan pengasas produk kecantikan terkenal dan berjaya di negara ini.

Sebut sahaja Dnars Skincare, keluaran syarikat Rohban Trade Sdn Bhd, ramai yang mengenali. Namun jika sebut nama pemiliknya Faziani Rohban Ahmad pasti ramai terkerut dahi sambil angkat kedua bahu. Apatah lagi jika berselisih bahu di jalan pasti hanya menganggapnya orang biasa.

Namun itu keistimewaan Personaliti Hebat WOW itu yang dipilih kali ini.

Wanita berusia 35 tahun, dari Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu, Kelantan ini yang amat meminati bidang kecantikan dan penjagaan diri sememangnya seorang berperwatakan sederhana.

Jika orang lain, tatkala kerjaya sudah berwarna pelangi, sudah lama menonjol diri. Namun berlainan dengan Faziani.

Pasti ketika produknya kian dikenali, ramai mahu mengenali tuan empunya diri. Namun beberapa kali pelawaan sebelum ini untuk mengetengahkan dirinya dalam bahan terbitan Kumpulan Media Karangkraf ditolak dengan baik. Beliau juga begitu enggan ‘menonjolkan diri’ dengan media lain.

Hanya baharu kali ini beliau bersetuju untuk ditemu ramah.

Tanpa berselindung, Faziani memberitahu kebiasaannya sebelum ini, beliau hanya mahu menonjol sebagai jurucakap produk di sebalik Dnars.

Diam-diam ubi berisi, siapa sangka… malah empunya diri juga tak merancang, perniagaan dibina kini kukuh dan dikenali dalam tempoh empat tahun.

Faziani kini boleh berbangga pencapaian diperoleh mempunyai kira-kira 50 kakitangan dengan 500 stokis dan pengedar produknya.
Pengalaman sukar

Tempoh empat tahun mampu membina empayar mungkin dilihat singkat. Namun, jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Apa diperoleh ibu yang mempunyai beberapa cahaya mata ini tidak semudah memetik jari.

Pernah berpengalaman membuka salon kira-kira tiga tahun. Kemudian terpaksa menutupnya berikutan banyak bergerak dek sibuk urusan berniaga beberapa jenama kosmetik yang diusahakannya bersama rakan kongsi.

Faziani membuka cerita, daripada situ beliau mengutip banyak pengalaman berharga.

“Saya bermula dari tangga ke tangga. Pengalaman suka-duka berniaga terutama semasa menjual produk kosmetik. Pernah saya jual dan gadai barang kemas untuk buat modal niaga.

“Selain itu, ada juga pengalaman, kerana percaya pada kawan saya tidak terlalu ambil pusing soal duit. Lihat sahaja duit akaun ada atas kertas, tapi rupa-rupanya kosong. Dari situ, saya rasa sudah perlu mengundur diri.

“Sudah cukuplah saya tolong kawan-kawan. Sudah sampai masanya saya bergerak sendiri,” katanya.

Mungkin ada hikmahnya apa berlaku, dari situ timbul idea untuk Faziani memulakan perniagaannya sendiri. Tambahan anak ketiga daripada tujuh beradik ini dilahirkan dalam kalangan keluarga berniaga. Membesar dalam suasana serba kekurangan, dengan Allahyarham bapanya membuka kedai makan, manakala ibunya pula suri rumah. Ia menjadikan wanita ini kental untuk ubah nasib keluarga.

Berbekalkan pengalaman dan kelebihan mempunyai petua penjagaan kecantikan dan kesihatan diwarisi daripada nenek-moyang, beliau tekad mengeluarkan produk sendiri bermula tahun 2011.

“Saya mula dengan mengeluarkan produk sabun badan. Alhamdulillah ada permintaan apabila ia berkesan pada pengguna. Promosi pula pada masa itu hanya dari mulut ke mulut.

“Dalam kesibukan menguruskan anak-anak pada masa itu, memang saya seorang yang mulakan Dnars. Jual dan urus produk sendiri. Memang banyak cabaran terpaksa dihadapi.

Hendak yakinkan orang (pelanggan), hadapi cemuhan dan macam-macam apalagi produk belum dikenali masa itu,” kata wanita berdarah Pakistan sebelah bapanya ini.

Yakin produk diketengahkan, tambahan pula ia berasaskan bahan semula jadi, Faziani bersyukur produk Dnars kian diterima.

Beliau juga mengakui walaupun hanya bermula dengan separuh muka surat saiz iklan di majalah Mingguan Wanita, namun ia banyak membantu meningkatkan jualannya.

Selain itu, beliau amat mementingkan kualiti dengan menguji produknya pada dirinya sendiri sebelum ia dikomersialkan.

Tambahan pula asalnya beliau sendiri menghadapi masalah kulit sensitif membuatkannya mempraktikkan petua kecantikan nenek moyang yang ada.

Antara ramuan asli digunakan seperti ekstrak beras, kunyit, serbuk mutiara dan tumbuh-tumbuhan semula jadi lain.

Pada 2012 baharulah Dnars mengeluarkan produk penjagaan kulit dan minuman kesihatan.
Hadapi cabaran

Populariti produknya menyebabkan ada pihak menangguk di air keruh. Faziani berkata, disebabkan sikap low profile nya sebelum ini, ramai ambil kesempatan.

“Ada yang gunakan nama Dnars, kata Dnars ada keluar produk lain dan sebagainya untuk melakukan produk mereka dan macam-macam lagi.

“Sedangkan mereka mengakui sedemikian itu sebenarnya adalah stokis yang tidak bayar hutang. Bagaimanapun saya biarkan. Biar ALLAH sahaja tahu.

“ALLAH tahu keikhlasan kita, tak perlu burukkan sesiapa. Yang penting jika hati bersih, jiwa tenang. Susah senang, mudah hati kita hadapinya.

“Memang asalnya saya tidak mahu menonjol, hanya mahu jadi (dilihat sebagai) jurucakap produk. Tapi bila dah jadi seperti ini (pihak ambil kesempatan), baharu saya perlu keluar,” katanya.

Niat baik dibalas baik, menurutnya beliau berharap supaya melalui perniagaan diusahakannya akan dapat membuka jalan kepada insan lain mencari rezeki.

Faziani bersyukur sehingga kini produknya dapat membantu memberi pekerjaan termasuk kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dan stokis yang kebanyakannya ibu-ibu tunggal.

Wanita murah dengan senyuman ini juga tidak lokek berkongsi kesenangan dan ringan tulang bekerja bersama stafnya, antara resipi mengikat mereka.

“Biasanya setiap tahun kita akan adakan hari keluarga bersama pekerja. Jika mereka perlu kerja lebih masa, memang saya sanggup bayar double atau triple.

“Di tempat kerja pula saya bukan selalu hanya duduk di bilik pejabat. Sebaliknya sama-sama buat kerja dengan pekerja seperti buat pembungkusan di kilang dan makan bersama. Kita seperti saudara mara.

“Saya bersyukur tiada masalah dengan pekerja. Malah selepas waktu kerja juga ada yang datang ke rumah sebab dah biasa,” katanya.
Bersama keluarga

Sibuk dengan perniagaan termasuk terpaksa selalu keluar daerah dan negara, pastinya masa terhad bersama keluarga.

Selain dibantu ahli keluarga terdekat dan tiga pembantu rumah, Faziani bersyukur suaminya yang juga Pengarah Urusan Rohban Trade, Hj Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 36, bekerja bersamanya.

“Selain Dnars, Rohban Trade juga ada perniagaan pembekalan minyak dan gas dikendalikan suami. Jadi kami memang sibuk. Kadangkala rasa bersalah dari segi masa terpaksa selalu tinggalkan anak-anak. Jadi kami perlu cari masa berkualiti bersama keluarga.

“Antara masa ada semasa hantar anak-anak ke sekolah. Kami tak gunakan khidmat pemandu,” katanya.

Beliau sempat berkongsi petua kebahagiaan rumah tangganya seperti saling bersabar dan fahami satu sama lain, manakala jika ada sebarang masalah, cepat diselesaikan.

Dalam pada itu, ditanya harapan terhadap bidang diusahakannya, Faziani berharap dapat meluaskan lagi pasaran produknya hingga peringkat antarabangsa. Ia kini sudah pun dipasarkan secara meluas di negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak, Brunei dan Singapura.

Sehingga kini syarikatnya mengeluarkan produk penjagaan wajah bagi kulit sensitif seperti jerawat dan jeragat, sabun pencerahan kulit badan, kapsul dan minuman kesihatan, termasuk berasaskan kolagen.

Mereka berminat mengetahui lebih lanjut mengenai produk Dnars Skincare boleh terus menghubungi wakil dan stokis terdekat.

No Comments

Leave a Comment